بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
Dengan Nama Allah
Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
اَلْحَمْدُ للهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ , وَالعَاقِبَة لِلْمُتَّقِيْنَ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ
وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ
Ya Allah, Tuhan Semesta Alam,
Kami merafakkan rasa kesyukuran kepadaMu kerana telah mengizinkan kami untuk meraikan sambutan Hari Guru 2010 ini dengan tema "Guru Pembina Negara Bangsa".
Ya Allah, Ya ‘Azizi, Ya Sattar, Ya Fa’alullima yurid,
Sesungguhnya tugas sebagai guru adalah tugas yang mulia dan murni sepanjang zaman, justeru itu kurniakanlah kepada kami hati yang ikhlas dalam menyempurnakan tanggungjawab yang berat ini dengan sebaiknya. Lorongkanlah hati kami agar menjadikan seluruh aktiviti dunia pendidikan sebagai ibadah mengharapkan rahmat dan keredhaanMu semata-mata.
Ya Allah, Ya Mudabbiral amri,
Pada saat dan detik ini, kami menghulurkan tangan dan pengharapan, memohon ihsan dan pimpinanMu agar Engkau anugerahkan rasa kasih sayang kami kepada anak-anak didik kami, sebagaimana kami mengasihi dan menyayangi anak-anak kami sendiri. Kurniakanlah kepada kami kesabaran, ketabahan, semangat kerjasama yang tinggi dalam sebuah pasukan, semangat permuafakatan dan semangat juang yang tidak mengenal erti putus asa dalam memikul tanggungjawab sebagai seorang pendidik dan berusaha menyumbang tenaga, idea dan kepakaran demi meningkatkan kualiti akademik dan ko-kurikulum murid-murid kami khasnya dan di arena pendidikan perdana amnya.
Ya Allah, Ya Mukawwiral laili wan nahar,
Pada kesempatan ini, kami mohon kepada kebesaran dan kehebatanMu Ya Allah sudilah kiranya Engkau mengurniakan kepada kami sifat yang mulia dan akhlak yang luhur, mudah-mudahan kami akan menjadi pendidik yang sentiasa dihormati. Semoga putera-puteri anak Malaysia didikan kami menjadi insan yang sempurna dan berguna kepada agama, bangsa dan negara tercinta.