Jumlah Pengunjung

26 Mac 2010

Bukit Kepong

Tengah syok badrulville layan minum-minum, makan-makan dekat Restoran Mimi Tomyam, Jalan Langgar dengan Pai dan Chik sambil dok layan TV, lebih kurang jam 10 malam, RTM TV 2 tayang pulak filem 'Bukit Kepong'. "Alamakk... Layan cerita nie......"
Walaupun sebelum ni sejak darjah dua lagi dah tengok banyak kali cerita Bukit Kepong ni, badrulville masih mempunyai minat untuk mengikutinya. Bersempena dengan ulang tahun Peringatan Hari Polis ke-203, TV 2 telah mengambil inisiatif untuk menayangkan filem tersebut.
Selalunya kalau duduk bersembang tu sampai empat jam pun buleh tahan. Tapi, malam tadi duduk tak sampai sejam dah pakat balik rumah...

Cukup tersentuh bila menghayati filem Bukit Kepong. Bagi badrulville, ianya lebih menarik jika dibandingkan dengan filem seperti Leftenan Adnan, Embun dan lain-lain lagi yang mengisarkan tentang pahit maung para pejuang Tanah Melayu untuk mempertahankan tanahair daripada dijajah oleh British, Jepun dan ancaman pengganas komunis...

Berikut adalah ringkasan sejarah peristiwa Balai Polis Bukit Kepong, Muar, Johor Darul Takzim:

Permulaan

Tragedi Bukit Kepong merupakan peristiwa bersejarah yang berlaku pada 23 Februari 1950 antara pihak polis dan pengganas Parti Komunis Malaya sebelum kemerdekaan Tanah Melayu. Pertempuran ini berlaku di sekitar kawasan Balai Polis Bukit Kepong. Balai polis yang diperbuat daripada kayu ini terletak di tebing Sungai Muar, sekitar 60 km dari bandar Muar.


Kejadian ini bermula sekitar jam 4.15 pagi apabila pihak komunis melancarkan serangan secara gerila. Komunis ingin menjadikan contoh daripada serangan tersebut tentang akibat kepada sesiapa yang menentang perjuangan mereka.


Apabila mereka mulakan kepungan, pihak komunis percaya bahawa mereka akan dapat mengalahkan polis dan menakluk balai polis tersebut dalam tempoh yang singkat. Ini disebabkan beberapa faktor yang menyebelahi mereka:
1. Kelebihan senjata dan jumlah keanggotaan
2. Kedudukan balai polis tersebut yang agak terpencil

Sewaktu serangan berlaku, Sarjan Jamil Mohd Shah telah ditugaskan sebagai Ketua Polis Balai dengan platun campuran 15 anggota polis Tugas Am dan Konstabel Polis Marin pimpinan Sarjan Jamil sendiri. Pasukan ini turut diperkukuhkan dengan kehadiran tiga anggota konstabel polis khas dan empat anggota polis tambahan bagi menjalankan tugas mengawal dan lain-lain, yang menjadikan 22 orang anggota kesemuanya. 13 orang termasuk isteri dan anak-anak anggota tinggal di berek kelamin di sebelah belakang balai polis.

Kesukaran sistem perhubungan adalah sebab utama penempatan pasukan polis marin diwujudkan di situ. Malah, pengangkutan utama ke Bukit Kepong adalah dengan hanya menaiki bot menyusuri Sungai Muar.

Serangan Komunis

Menurut saksi, lebih 200 orang pengganas komunis daripada Kompeni ke-4 yang membuat serangan dan dipercayai diketuai oleh Muhammad Indera atau Mat Indera, komunis Melayu yang diperdaya oleh pihak komunis Cina. Pada awal rancanganya Mat Indera dimaklumkan bahawa serangan itu sebagai satu amaran sahaja. Bagaimanapun ia bertukar menjadi tragedi buruk, ia juga disertai oleh Goh Peng Tun.

Pihak komunis mengepung Balai Polis Bukit Kepong dengan separuh anggota di bahagian hadapan, bakinya di sekeliling balai polis. Pertempuran bermula apabila Konstabel Jaffar Hassan menembak mati seorang pengganas yang sedang memotong kawat duri balai polis tersebut. Pihak komunis kemudiannya menyerang dari segenap sudut, terutamanya dari bahagian hadapan. Mereka berharap serangan ini mengejutkan pihak polis tetapi hakikatnya berhadapan dengan tentangan hebat anggota-anggota polis Bukit Kepong terutamanya daripada dua kedudukan Bren Gun yang terletak di dalam kubu di bawah bilik kawalan.


Sungguhpun lebih sedikit, pihak polis yang diketuai oleh Sarjan Jamil enggan menyerah walaupun berkali-kali diseru oleh komunis agar mereka meletakkan senjata. Satu persatu anggota keselamatan gugur apabila pertempuran berterusan dan dua orang isteri polis yang bertahan turut serta berjuang apabila mendapati suami mereka terkorban semasa pertempuran.

Sekitar pukul 5 pagi pasukan Polis Bantuan atau Auxiliary Police (AP) beserta sekumpulan penduduk kampung yang lengkap bersenjatakan raifal dan senapang patah digerakkan di Kampong Jawa di bawah pimpinan Penghulu Ali Mustaffa. Walaubagaimanapun, mereka telah diserang hendap oleh komunis yang ditugaskan untuk menghalang sebarang bantuan dari luar dan beberapa orang kampung serta pihak komunis sendiri turut terkorban dalam pertempuran di kawasan itu.

7 pagi, komunis menangkap seorang isteri polis, Mariam Ibrahim, isteri kepada Konstabel Mohamad Jaafar. Dikhabarkan, ketua kumpulan komunis, Mat Indera memaksa Mariam merayu agar pihak polis menyerah diri tetapi tidak diendahkan oleh Sarjan Jamil. Pada masa ini Fatimah Ya’aba dan anaknya Hassan turut ditawan dan dipaksa menyeru kepada pihak polis untuk menyerah kalah. Mereka yang bertahan enggan berbuat demikian dan terus berjuang habis-habisan. Apabila mereka enggan menyerah, Mariam dicederakan dan Fatimah dibunuh.

Pada detik terakhir pertempuran hebat itu, komunis telah membakar berek kelamin dan balai polis. Dua orang isteri dan anak-anak anggota keselamatan terbakar hangus dalam berek kelamin. Hanya tinggal tiga orang anggota polis dan seorang Pengawal Kampung yang masih hidup. Mereka meluru keluar dari balai yang terbakar dan merempuh kedudukan komunis, membunuh sekurang-kurangnya tiga dari kumpulan pengganas yang cuba menghalang mereka. Pihak komunis terus melepaskan tembakan kepada mereka yang cuba meninggalkan balai polis yang sedang dijilat api.

Hanya selepas lima jam bertempur, barulah pihak komunis berjaya menawan Balai Polis Bukit Kepong. Mereka kemudian kembali ke dalam hutan, meninggalkan kesan kemusnahan dan kematian. Pihak komunis turut menghumban mereka yang tercedera dan mayat yang terkorban ke dalam api. Antaranya termasuk Hassan, anak kepada Konstabel Abu Bakar yang dicampak hidup-hidup ke dalam api. 14 anggota polis termasuk Sarjan Jamil, empat pengawal kampung, tiga polis bantuan, isteri serta tiga orang anak mereka. Jumlah kematian adalah seramai 25 orang. Mereka yang terselamat ialah empat anggota polis dan sembilan ahli keluarga.

Mereka yang Terselamat

Anggota polis:

1. Konstabel Polis 10533 Othman Yusoff
2. Konstabel Polis Marin 37 Abu Bakar Daud
3. Konstabel Polis Tambahan 3472 Ahmad Khalid
4. Konstabel Polis 7645 Haji Yusoff Rono (meninggal dunia pada 14 April 2005)

Ahli keluarga anggota polis:
1. Mariam Ibrahim - balu Konstabel Muhamad Jaafar
2. Zainun Muhamad - anak perempuan Konstabel Muhamad Jaafar
3. Abu Samah Muhamad - anak lelaki Konstabel Muhamad Jaafar
4. Zaleha - anak perempuan Konstable Muhamad Jaafar
5. Jamilah - anak perempuan Konstabel Marin Abu Bakar Daud
6. Hussain - anak lelaki Konstabel Marin Abu Bakar Daud
7. Fatimah Abdul Manan @ Timah Lawa - isteri Konstabel Hassan Osman
8. Pon Khalid - isteri Konstabel Marin Awang Ali
9. Fatimah Tuani - isteri Konstabel Hamzah Ahmad

Mereka yang Terbunuh Dalam Pertempuran

Anggota polis:
1. Sarjan 3493 Jamil Mohd Shah (Ketua Polis Balai Bukit Kepong)
2. Koperal 7068 Mohd Yassin Haji Wahab (Timbalan Ketua Polis Balai Bukit Kepong)
3. Lans Koperal 7168 Jidin Omar
4. Konstabel Polis 3933 Hamzah Ahmad
5. Konstabel Polis 5674 Abu Mohd Ali
6. Konstabel Polis 7493 Muhamad Jaafar
7. Konstabel Polis 7862 Abu Kadir Jusoh

8. Konstabel Polis 8600 Jaafar Hassan
9. Konstabel Polis 9136 Hassan Osman
10. Konstabel Polis Tambahan 3475 Mohd Top Lazim
11. Konstabel Polis Tambahan 3795 Jaafar Arshad
12. Konstabel Polis Marin 60 Ibrahim Adam
13. Konstabel Polis Marin 68 Awang Ali
14. Konstabel Polis Marin 181 Basiron Adam

Polis Bantuan:
1. AP 2130 Samad Yatim
2. AP Mahmood Saat
3. AP 1925 Ali Akop
4. AP 2127 Othman Yahya

Keluarga anggota:
1. Fatimah Ya'aba - isteri kepada Konstabel Abu Bakar Daud
2. Hassan Abu Bakar - anak lelaki kepada Konstabel Abu Bakar Daud
3. Saadiah - isteri kepada Konstabel Abu Mohd Ali
4. Simah Abu - anak kepada Konstabel Abu Mohd Ali

Anggota Polis Bantuan dan Pengawal Kampung yang terkorban dalam pertempuran di luar balai polis
:
1. AP Redzuan Alias
2. Embong Lazim
3. Koh Ah Cheng

Tiada ulasan: