Jumlah Pengunjung

02 Jun 2010

Cuti-cuti Malaysia: Cameron Highlands

Agak lama benar blog ini tidak dikemaskini. Maklumlah musim peperiksaan, terlalu banyak perkara yang perlu ditumpukan. Dari proses penyediaan kertas soalan sehinggalah kepada melengkapkan buku rekod pencapaian murid.

Namun, dalam kesibukan tersebut Badrulville bersama-sama dengan rakan sekerja SKTR lain masih berkesempatan untuk lari seketika daripada 'kesesakan' tugas sebagai seorang guru.

Pada 28 dan 29 Mei yang lalu, kami telah mengambil peluang sempena cuti umum Hari Wesak untuk 'makan angin' di Cameron Highlands, Pahang.

Bagi Badrulville, ini merupakan pengalaman pertama ke sana. Dengan perkhidmatan terbaik yang telah diberikan oleh Purnama Gemilang Enterprise (Travel & Tours) melalui pengurusnya sendiri iaitu En. Abdul Halim Abdul Karim, kami telah melalui pengalaman yang cukup bermakna di Cameron Highlands.

Antara tempat yang dikunjungi:
- Green View Garden, Kampung Raja
- pekan dan pasar malam Brinchang
- pekan Tanah Rata
- Desa Anthurium Apartment (tempat menginap)
- Cameron Valley Tea House dan Cameron Bharat Tea Plantations
- 'syurga' sayur-sayuran Kea Farm
- Rich Flora Strawberry Centre


16 Mei 2010

Selamat Hari Guru: Terima Kasih Semua...

Pada kesempatan yang ini, Badrulville ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada sahabat handai, para guru teman seperjuangan yang sejak kelmarin tidak putus-putus mengirimkan khidmat pesanan ringkas (SMS) serta ucapan di laman sosial Facebook sebagai pengganti diri sempena Hari Guru bagi tahun ini. Tidak lupa juga kepada anak-anak didik tersayang yang telah menghadiahkan 'Sir' dengan pelbagai hadiah dan cenderamata pada tanggal tarikh 16 Mei 2010...

Semoga Allah memberi rahmat kepada anda semua... Terima kasih...


Doa Sempena Hari Guru


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
Dengan Nama Allah
Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani


اَلْحَمْدُ للهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ , وَالعَاقِبَة لِلْمُتَّقِيْنَ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ
وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ

Ya Allah, Tuhan Semesta Alam,
Kami merafakkan rasa kesyukuran kepadaMu kerana telah mengizinkan kami untuk meraikan sambutan Hari Guru 2010 ini dengan tema "Guru Pembina Negara Bangsa".

Ya Allah, Ya ‘Azizi, Ya Sattar, Ya Fa’alullima yurid,
Sesungguhnya tugas sebagai guru adalah tugas yang mulia dan murni sepanjang zaman, justeru itu kurniakanlah kepada kami hati yang ikhlas dalam menyempurnakan tanggungjawab yang berat ini dengan sebaiknya. Lorongkanlah hati kami agar menjadikan seluruh aktiviti dunia pendidikan sebagai ibadah mengharapkan rahmat dan keredhaanMu semata-mata.

Ya Allah, Ya Mudabbiral amri,
Pada saat dan detik ini, kami menghulurkan tangan dan pengharapan, memohon ihsan dan pimpinanMu agar Engkau anugerahkan rasa kasih sayang kami kepada anak-anak didik kami, sebagaimana kami mengasihi dan menyayangi anak-anak kami sendiri. Kurniakanlah kepada kami kesabaran, ketabahan, semangat kerjasama yang tinggi dalam sebuah pasukan, semangat permuafakatan dan semangat juang yang tidak mengenal erti putus asa dalam memikul tanggungjawab sebagai seorang pendidik dan berusaha menyumbang tenaga, idea dan kepakaran demi meningkatkan kualiti akademik dan ko-kurikulum murid-murid kami khasnya dan di arena pendidikan perdana amnya.

Ya Allah, Ya Mukawwiral laili wan nahar,
Pada kesempatan ini, kami mohon kepada kebesaran dan kehebatanMu Ya Allah sudilah kiranya Engkau mengurniakan kepada kami sifat yang mulia dan akhlak yang luhur, mudah-mudahan kami akan menjadi pendidik yang sentiasa dihormati. Semoga putera-puteri anak Malaysia didikan kami menjadi insan yang sempurna dan berguna kepada agama, bangsa dan negara tercinta.

15 Mei 2010

Selamat Hari Guru: Kerjaya Sebagai Seorang Guru Perlukan Kesabaran


Setelah bertungkus-lumus di dalam mendidik putera puteri Malaysia tercinta, beginilah kadangkala situasi yang terpaksa dihadapi oleh seorang insan yang bergelar 'guru' atau 'Cikgu'.

Guru umpama lilin - Sanggup untuk membiarkan dirinya terbakar untuk menerangi alam sekeliling. Tapi kalau macamni punya cerita, ikutkan hati mau rasa nak renyuk-renyuk kertas periksa anak-anak murid ni...

Itulah hakikatnya tugas dan cabaran sebagai seorang guru, semoga Allah sentiasa mengekalkan kesabaran di hati dan mempermudahkan segala urusan kami sebagai warga pendidik.

"Guru Pembina Negara Bangsa"
SELAMAT HARI GURU 2010

20 April 2010

Pra-Bola Baling PKG Langgar 2010: SK Tunku Raudzah 4 - SK Convent 3

Tidak pernah berlaku dalam catatan hidup badrulville sejak memulakan kerjaya sebagai guru bermula tahun 2005 di SK Tunku Raudzah yang saban tahun terlibat secara langsung di dalam pengurusan dan kejurulatihan sukan seperti olahraga, hoki, bola baling dan bola sepak di mana mesyuarat pengelolaan pertandingan diadakan tidak sampai seminggu dari tarikh kejohanan! Itulah yang berlaku pada tahun ini. Mesyuarat pengelolaan pertandingan berlangsung pada Ahad lalu dan pertandingan selang empat hari berikutnya. Paling tidak, tempoh seminggu sudah cukup untuk membuat persediaan.

Walaupun 'dikejutkan' dengan tarikh Kejohanan Bola Baling Pusat Kegiatan Guru (PKG) Langgar yang akan diadakan pada Khamis ini, Alhamdulillah persiapan pasukan perempuan selama hampir tiga minggu menunjukkan hasil yang agak memberangsangkan. Dengan hampir 70% pemain yang dibentuk daripada skuad bola jaring, agak sukar untuk menukar 'tempo' pergerakan permainan bola jaring kepada permainan bola baling.

Pada petang tadi telah berlangsung satu perlawanan persahabatan menentang SK Convent bagi pasukan perempuan. Agak mengejutkan apabila pemain yang selama ini agak longlai dan sering melakukan kesilapan mudah telah menjadi tunjang kepada kemenangan SKTR.

Namun, perjalanan masih jauh. Khamis ini akan menentukan adakah sasaran sebagai antara dua pasukan terbaik dapat dicapai? Dari segi sudut psikologi kanak-kanak, dengan kemenangan pada hari ini bakal membawa mereka kepada sedikit sifat terlalu yakin yang akan terbawa-bawa ke hari pertandingan. Inilah yang paling ditakuti oleh badrulville. Acapkali memperoleh kemenangan sebelum berlangsungnya kejohanan, pemain akan menjadi terlalu yakin seterusnya membawa padah dan berputih mata pada saingan sebenar.

Senarai pemain perempuan:
Nur Najihah Mansor, Nadia Md Noor, Nur Jihan Yunus, Siti Nursyafika Mohd Pauzi (6 Success), Nurul Aida Ismail, Nur Afifah Afiqah Shamsul, Nur Amirah Izzati Mohd Hazman, Nur Farihatul Solehah Abdul Malik, Nur Hanis Anuar (6 Knowledge), Nur Solehah Hamzah, Nurul Radziah Mohd Radzi, Nur Adibah Ismail (6 Top), Ainna Syafiqah Abdull Rahman (5 Knowledge), Nur Hidayah Muhd Firdaus (4 Knowledge), Nurul Rasyidah Mohd Radzi (4 Top)

Senarai pemain lelaki:
Mohd Aiman Mohd Hasnan (6 Success), Mohd Izzat Dahlan, Muhammad Syafiq Othman, Muhammad Hafizullah Abdul Aziz, Mohd Al-Amin Saharrudin (6 Knowledge), Mohd Syazwan Sharun, Mohd Akmal Romli, Mohd Zulkifli Tahir, Abdul Muaz Abdullah, Mohd Ashraf Amzi, Mohd Azri Ahmad Subri (6 Top), Idlan Syafiq Zainol (6 Renewal), Aidit Ikhmal Mustaffa (5 Knowledge)

13 April 2010

Final Piala FA: Sakit Perut dan Burger RM2


Sejak pasukan Kedah layak ke final Piala FA, masa agak terbatas untuk mengemaskini blog. Maklumlah, sibuk dengan urusan bas dan rombongan ke Bukit Jalil. Bukan rezeki Kedah bagi final Piala FA tahun ini - hanya tewas kepada Negeri Sembilan melalui penentuan sepakan penalti. 'Kalah bermaruah'...

Mungkin tidak ramai yang mengetahui situasi pasukan Kedah beberapa jam sebelum sepak mula final pada malam 10 April yang lalu. Setelah beberapa ketika berada di kawasan Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil, terdetik hati Badrulville untuk bertanyakan khabar tentang keadaan pemain The Canaries yang menginap di Grand BlueWave Hotel, Shah Alam.

Satu SMS ditujukan kepada penyerang pasukan Kedah, Muhammad Shafiq Jamal, "Macamna players, semua OK kot?"
Shafiq: "Tak OK... Ramai sakit perut,"
Badrulville: "Pasaipa?"
Shafiq: "Tak tau..."
Badrulville: "Biaq betoi?? Dah tu malam ni leh perform dak??"
Shafiq: "Bleh punya. Jangan risau,"
Agak lapang dada setelah membaca SMS terakhir tersebut. Rupa-rupanya sebilangan pemain utama Kedah telah mengalami keracunan makanan. Duduk dekat hotel pun buleh kena keracunan makanan? Kena sabotaj ka apa??

Sekitar jam 6.30 petang Badrulville sudahpun berada di dalam Stadium Nasional Bukit Jalil buat kali yang ketiga selepas tahun 2007 dan 2008 untuk sama-sama merasai warna-warni, kemeriahan dan hiruk-pikuk suasana final Piala FA 2010. Penyokong Kedah dengan warna hijau-kuning berserta semangat 'Pulun Kedah Pulun' manakala Negeri Sembilan dengan slogan 'Hobin Jang Hobin'.

Tak sampai sejam menikmati suasana meriah di dalam stadium, tekak sudah terasa haus. Perut pun dah mula 'memberontak' selepas tujuh jam tidak diisi dengan apa-apa makanan. Tiba-tiba lalu si penjaja bergerak yang berlegar di dalam stadium mencari pelanggan... "Mak aih!! Semua dua ringgit??". Air minuman, kuaci dan burger dijual pada kadar harga yang sama rata iaitu RM2. Lapaq punya pasai kena beli jugak la ayaq dengan burger yang rupanya bak digelek steamroll. Sos pun depa nak berkira, timun pun bubuh sekeping!! Hampeh......

Beginilah keadaan dan rekabentuk burger yang dijual di Stadium Nasional Bukit Jalil 10 April lalu

09 April 2010

Masuk Sinar Harian Pulak...

Sinar Harian: Hadiah kemenangan kepada penyokong setia

ALOR SETAR - Pasukan Kedah sekali lagi mahu menghadiahkan penyokongnya dengan kemenangan pada pusingan akhir Piala FA menentang Negeri Sembilan di Stadium Bukit Jalil, Sabtu ini.

Jurulatih Kedah, Ahmad Yusof berkata, anak buahnya kini sedang sibuk menjalani latihan bagi mengukuhkan corak permainan dan yakin pasukan itu sudah bersedia dengan perlawanan berkenaan.

Menurutnya, skuad Kenari dan Negeri Sembilan mempunyai peluang untuk memenangi Piala FA musim ini namun dengan persediaan yang dijalankan, beliau yakin anak buahnya mampu beraksi cemerlang.

“Saya yakin pemain dapat beraksi cemerlang sekiranya mereka memberi tumpuan pada sesi latihan.

“Jadi, kita juga mengharapkan sokongan yang padu daripada penyokong untuk perlawanan akhir nanti, dan berharap mereka akan memberi sokongan yang sama seperti perlawanan semi-final, Sabtu lalu,” katanya.

Ahmad berkata, diharapkan penyokong dapat memberi sokongan dan semangat kepada pemain dari awal perlawanan sehingga tamat perlawanan.

Sementara itu, bagi penyokong Kedah pula, mereka sentiasa mengharapkan kemenangan daripada skuad Kenari.

Penyokong Kedah, Badrul Hisham Mohd Ridhwan, 28, berkata, pasukan Kedah pasti memperoleh kemenangan kerana pasukan itu sudah meningkatkan dan memperbaiki corak permainan.

“Saya yakin pemain akan dapat beraksi cemerlang namun mereka tidak boleh cepat berpuas hati dengan corak permainan walaupun sudah memperoleh satu gol.

“Pemain perlu mengekalkan corak permainan mereka agar menjadi lebih baik,” katanya kepada Sinar Harian.

Khairul Ashraf Khalid, 26, berkata, penyokong Kedah akan sentiasa memberi sokongan kepada skuad Kenari untuk meraih kemenangan.

Khairul Ashraf berkata, pemain tidak boleh leka sewaktu hari perlawanan kerana bimbang pasukan lawan akan mengambil kesempatan.

“Pemain kena kekalkan strategi menyerang dan jangan leka agar pasukan lawan tidak mudah mematahkan corak permainan pasukan Kedah.

“Pemain juga perlulah mempunyai semangat yang sama seperti semi-final, agar mereka dapat mengekalkan kejayaan mereka,” katanya.

Mohd Zaki Zulkifli, 29, berkata, kemenangan daripada pasukan Kedah amatlah diharapkan bagi mengembalikan kegemilangan bola sepak Kedah.

Menurutnya, walaupun Negeri Sembilan mempunyai pemain yang mantap namun yakin pasukan Kedah mampu menewaskan pasukan itu sekiranya pemain memberi tumpuan yang sepenuhnya pada hari perlawanan nanti.

04 April 2010

Bukit Jalil... Nantikan Kehadiranku...


Apa yang telah dirancang sejak hampir sebulan lalu kini menjadi kenyataan - Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur bakal menjadi destinasi menjelang 10 April 2010 depan.

Badrulville dan Terap tatkala ini sedang sibuk mengatur tempahan-tempahan tempat duduk bas ke perlawanan akhir TM Piala FA 2010.

Semalam, Kedah melangkah ke perlawanan akhir Piala FA dengan cukup bergaya menewaskan Terengganu dengan jaringan 2-1 sekaligus menempah satu slot di Bukit Jalil menerusi agregat 4-1 untuk bertemu Negeri Sembilan.

Tiga final dalam tempoh empat tahun merupakan pencapaian yang boleh dibanggakan untuk diulang kisah oleh penggiat bola sepak negeri Jelapang Padi.

Badrulville, Zul dan Terap bersama Piala FA yang dimenangi oleh pasukan Kedah musim 2008/2009

03 April 2010

Memori Indah SKTR 2009

Antara 'buah tangan' yang dihasilkan untuk tayangan sempena Hari Anugerah Pelajar Cemerlang Sekolah Kebangsaan Tunku Raudzah Kali ke-35 Tahun 2009


02 April 2010

Tubuh jawatankuasa khas kaji beban tugas guru - Muhyiddin


KUALA LUMPUR 31 Mac - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi mengkaji beban tugas berlebihan yang ditanggung oleh guru sekolah di seluruh negara.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, keputusan itu dibuat selepas kementerian itu mendapati ada asas bahawa guru di beberapa buah negeri kini menghadapi beban tugas berlebihan sehingga menjejaskan tumpuan kepada tugas mengajar.

"Saya sudah arahkan jawatankuasa itu nanti mengenalpasti bagaimana masalah (bebanan tugas) itu boleh berlaku dan mencari penanda aras yang boleh kementerian guna pakai, sama ada dengan mengambil contoh piawaian antarabangsa atau dari negara jiran yang tahap pendidikannya lebih tinggi dari kita untuk dicontohi," katanya.

Muhyiddin berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat antara Kementerian Pelajaran dengan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Hadir sama pada mesyuarat tersebut ialah Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

Menurut beliau, jawatankuasa itu yang akan dipengerusikan oleh Alimuddin dan keanggotaannya turut membabitkan beberapa pegawai pelajaran serta wakil NUTP diberi masa selama dua bulan bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu berkenaan.

Ditanya mengenai beban tugas berlebihan yang terpaksa ditanggung oleh guru, Muhyiddin berkata, antaranya adalah menguruskan aktiviti kokurikulum, bilik darjah, hal ehwal murid, pentadbiran dan perkeranian serta beberapa kerja tambahan lain yang perlu dibuat mengikut keperluan semasa.

"NUTP turut membuat aduan yang guru terpaksa bekerja pada setiap Sabtu, sedangkan pekeliling yang dikeluarkan, guru boleh bercuti pada hari Sabtu sebanyak dua kali setiap bulan disebabkan guru terbabit terlibat dengan banyak aktiviti.

"Jadi, kita akan teliti masalah itu kerana kita tidak mahu tugas hakiki guru iaitu mendidik pelajar dengan tumpuan sepenuhnya terhadap kelas terganggu disebabkan bebanan tugas lain yang terpaksa dipikul," katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, dasar baru kementerian yang menekankan aspek kokurikulum di sekolah turut mendapat maklum balas positif dari pihak NUTP yang menyatakan sokongan penuh terhadap usaha berkenaan.

"Kementerian akan memastikan penekanan terhadap kokurikulum tidak akan sesekali membebankan guru. Sebab itu, kementerian menubuhkan jawatankuasa ini, tidak lain tidak bukan untuk mencari penyelesaian terbaik menyelesaikan bebanan guru,"katanya.

Harap-harap keputusan kajian ni dapat dibentangkan secepat mungkin... Dah tertangguh sejak tahun 2006 lagi... Tugas, tanggungjawab dan amanah sebagai seorang guru mutakhir ini penuh dengan cabaran...

01 April 2010

Lambaian Final Piala FA 2010...

Tahun 2009, satu musim aku tak ke mana-mana sebagai seorang penyokong hardcore pasukan Liga Super Kedah. Dari hardcore terus bertukar menjadi softcore seiring dengan 'kesuraman' prestasi The Canaries... Tapi tak la sesuram mana pun, Liga Super tempat ketiga, still a good achievement la... Dan dalam dok bersuram tu pun tak pernah miss jugak nak ke stadium. Bertambah lagi suramnya sebab takdak dah pemain import... Dulu kalau takat Stadium Batu Kawan tu dia punya taraf macam dari rumah nak ke Stadium Darulaman saja laa... Kalau nak cerita bab sejarah dan memori di Stadium Batu Kawan pulak memang sampai Tuanku Sultan Kedah sendiri pun ada sejarah dia dekat situ tiga tahun sudah...

Semangat nak pi stadium pun masih membara sebab Coach Azraai pun tak henti-henti dok bagi maklumat pasukan sepanjang musim sampai la dia letak jawatan. Dan apa yang agak mengharukan, semasa pasukan Kedah berada di Vietnam sebagai persiapan pra-Liga Malaysia, saban hari Coach Azraai menelefon dan habih takdak pun dia SMS aku untuk memberikan perkembangan terkini perlawanan persahabatan dari Ho Chi Minh City. Such a nice coach I've ever met, heil Azraai!!

Tapi Alhamdulillah, tahun 2009 lepas berpeluang jugak menyeberang sampai ke Kota Singa (sebelum tu Pulau Pinang dan Kota Bharu) bawak pasukan Piala Emas Raja-Raja Kedah.

Dua malam lepas, semangat nak jadi hardcore balik mula melonjak lepas Azlan Ismail sumbat gol kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada minit ke-58... Dalam hati dok kata "Final dah tahun ni!!". Tak sampai seminit satu SMS masuk - "Bas untuk disewa,". Sapa lagi kalau bukan dari Terap, broker bas untuk geng HijauKuning.com (HKC). Dan lambaian Road to FA Cup Final dah bermula... Mana taknya, dok sembang bab trip nak pi final ni ada dekat sebulan dah dengan Terap dan Syed Ahmad, dok planning bab nak sewa bas ni macam-macam dah.

Tapi, 90 minit perjuangan masih ada untuk anak-anak buah Hj. Ahmad dan Hj. Radhi tempuhi Sabtu ini (03/04/2010). Dan dok berdoa semoga tak payah dah nak cancel balik bas yang kami dah booking tuuu......

31 Mac 2010

TM Piala FA 2010 - Kedah Sebelah Kaki di Pentas Final


KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Pasukan bukan pilihan Kedah dan Negeri Sembilan membuat kejutan apabila masing-masing mencipta kemenangan pada pertemuan pertama, suku akhir yang berlangsung malam Selasa.


Pasukan Negeri Sembilan berjaya menumpaskan pasukan tuan rumah, Selangor 2-1 di Stadium Shah Alam.

Kegembiraan Selangor memperolehi gol pertama menerusi tendangan Mohd Safee Sali pada minit ke-41 tidak bertahan lama apabila pasukan pelawat bangkit menjaringkan gol pada babak kedua perlawanan.

Ayam tambatan pasukan Negeri Sembilan, Mohd Zaquan Adha Abdul Razak ternyata tidak kecewakan pasukanya apabila menjaring gol pertama pada minit ke-70.

Seminit selepas gol pertama, S.Kunanlan menjaringkan gol kemenangan bagi pasukan Negeri Sembilan.

Sementara itu, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu, Pasukan tuah rumah gagal menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri setelah tewas 0-2 kepada Kedah.

Penyerang pasukan Kedah, Mohd Faizal Abu Bakar menonjolkan aksi cemerlang apabila menjaringkan gol pertama Kedah pada minit ke-28.

Walaupun pasukan Terengganu berkali-kali membuat serangan namun ternyata kubu Kedah sukar ditembusi.

Gol kedua Kedah dijaringkan oleh Azlan Ismail pada minit ke-58.

Pertemuan kedua, suku akhir dijadualkan berlangsung pada 3 April ini melibatkan pertemuan kedua antara Negeri Sembilan dan Selangor di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan.

Manakala pasukan Kedah pula akan bertemu Terengganu di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah.

-- BERNAMA

30 Mac 2010

Bola Baling Dah Start...

  • Olahraga bawak balik jaras kosong tahun ni...
  • Bola sepak tempat ketiga PKG Langgar...
  • Bola jaring pun tempat ketiga PKG Langgar...
Tiba pulak giliran bola baling nak bawak nama sekolah. Jadi, bermula petang tadi badrulville dah mengorak langkah awal buat sesi pemilihan untuk pasukan sekolah bagi tahun 2010 ini. Sasaran agak tinggi terutama sekali untuk pasukan perempuan dengan prestasi dan kebolehan pemain-pemain bola jaring sekolah... Kaki 'punggai' bola ramai tahun ni, ditambah pulak semuanya boleh bermain dengan robust, sesuai dengan permainan bola baling...

Sejak mula menjejakkan kaki ke Sekolah Kebangsaan Tunku Raudzah dan menjadi ketua jurulatih bola baling sekolah, Alhamdulillah saban tahun tak pernah pulang dengan tangan kosong. Segala kemahiran dan pengalaman sebagai pemain bola baling Maktab Perguruan Kota Bharu (kini Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu) di peringkat kebangsaan digunakan dengan sebaik mungkin. Samada pasukan lelaki atau perempuan ataupun kedua-duanya sekali mampu membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa.

Terima kasih jugak dekat Din (Zainudin Zainol), Kak Madiah (Normadiah Abdul Wahab) dan Kak Su (Suriani Mohamad) yang sentiasa membantu membentuk pasukan sekolah...

2005
Lelaki: Johan
Perempuan: -

2006
Lelaki: Johan
Perempuan: -

2007
Lelaki: Ketiga
Perempuan: Ketiga

2008
Lelaki: Johan
Perempuan: Ketiga

2009
Lelaki: Ketiga
Perempuan: Naib johan

29 Mac 2010

'Road to South Africa 2010' - Maskot


'ZAKUMI' ialah nama kepada maskot rasmi bagi kejohanan bola sepak Piala Dunia FIFA 2010 yang dilahirkan pada 16 Jun 1995. Karakter Zakumi pula diadaptasikan daripada seekor harimau bintang - harimau bintang yang memiliki perwatakan seperti manusia dengan rambut berwarna hijau.

Nama Zakumi diambil daripada gabungan huruf ‘ZA’ iaitu singkatan antarabangsa bagi negara Afrika Selatan, dan ‘kumi’ membawa maksud ‘sepuluh’ di dalam bahasa Afrika. Dua warna iaitu kuning dan hijau yang terdapat maskot ini diambil berdasarkan kepada warna rasmi jersi pasukan tuan rumah Piala Dunia 2010 yang turut digelar sebagai 'Bafana Bafana' (The Boys).


Tarikh lahir Zakumi sebenarnya diambil bersempena dengan tarikh Hari Belia yang disambut di seluruh negara Afrika Selatan; dan juga tarikh akan berlangsungnya perlawanan kedua melibatkan pasukan
Bafana Bafana pada peringkat kumpulan Piala Dunia 2010 menentang Uruguay. Manakala tahun 1994 pula merupakan tahun di mana bermulanya pilihanraya pertama yang bebas serta tidak bersifat perkauman di Afrika Selatan yang sebelum itu dibelenggu dengan dasar apartheid sejak tahun 1948. Umur Zakumi akan mencapai 16 tahun pada tahun 2010 ini.

Moto rasmi Zakumi ialah “Zakumi’s game is Fair Play”. Moto ini dapat dilihat di papan-papan iklan digital yang dipamerkan semasa kejohanan Piala konfederasi FIFA 2009, dan begitu juga semasa sepanjang Piala Dunia FIFA 2010 berlangsung di 10 venue.

'Road to South Africa 2010' - Bola Rasmi

Adidas JABULANI diperkenalkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di bandar raya Cape Town pada 4 Disember 2009 sebagai bola rasmi bagi kesemua perlawanan kejohanan bola sepak Piala Dunia FIFA 2010 yang berlangsung di Afrika Selatan dari 11 Jun hingga 11 Julai.

‘JABULANI’ membawa maksud ‘perayaan’ di dalam masyarakat Zulu yang juga dikenali sebagai loghat ‘isiZulu’ iaitu salah satu daripada 11 bahasa rasmi yang terdapat dalam suku kaum Afrika Selatan.

Selain maksudnya, angka 11 merupakan satu angka istimewa yang terdapat pada ciri-ciri Adidas Jabulani ini. Dengan gabungan 11 warna yang berbeza-beza telah menggambarkan atau mewakili beberapa fakta menarik:
  • bola rasmi Adidas ke-11 yang telah digunakan untuk kejohanan Piala Dunia FIFA;
  • 11 orang pemain di dalam sesebuah pasukan yang bertanding;
  • 11 bahasa rasmi yang mewakili setiap 11 suku bangsa atau puak utama di Afrika Selatan dan menjadikannya salah satu negara yang memiliki paling banyak etnik yang pelbagai di benua Afrika.

Rekabentuknya yang berwarna-warni juga selari dengan keharmonian dan kesepaduan masyarakat berbilang bangsa Afrika Selatan. Elemen empat panel berbentuk segitiga pada bola yang berlatarbelakangkan warna putih turut menampilkan Adidas Jabulani dengan semangat bangsa Afrika yang unik. Sebagaimana juga sama seperti ciri-ciri pada bahagian luar Stadium Soccer City, Johannesburg, elemen-elemen yang terdapat pada rekabentuk bola ini juga melambangkan budaya hidup masyarakat Afrika Selatan yang cukup istimewa untuk dihayati.

Adidas Jabulani dihasilkan daripada lapan panel yang dijalinkan bagi membentuk sebuah bola yang ‘lebih bulat’ berbanding dengan 10 jenis bola rasmi keluaran Adidas yang telah digunakan sejak 1970.

27 Mac 2010

"Higuaín demam kot?"


Selepas menghidupkan komputer riba badrulville, pada LiverpoolFC.tv Gadget yang terdapat di desktop sidebar tertera topik 'Madrid star linked' dan 'Reds in Madrid striker link'. Tanpa berlengah badrulville terus ke pautan tersebut. Ketika melayari Facebook, Terap turut berada di dalam talian...
Badrulville: "Haaa... Gonzalo Higuaín nak pi Liverpool..."
Terap: "Hahaha! Satu keputusan yang bodoh. Hang baca kat mana?"
Badrulville: http://www.liverpoolfc.tv/news/media-watch
Terap: "Higuaín demam kot...? Pada pi Liverpool baik pi Bolton Wanderers...

Adakah Liverpool yang mendapat jolokan baru sebagai "The Sinking Ships" selain "The Reds" daripada Albert Riera bakal menerima khidmat "El Pipita"?

Higuaín, penjaring terbanyak Los Merengues ketika ini dikaitkan dengan perpindahan ke Anfield oleh media Sepanyol. Bos The Reds, Rafael Benítez juga tanpa berselindung sudah mengakui minatnya untuk membawa masuk Higuaín untuk digandingkan dengan Fernando Torres sekiranya berpeluang. Higuaín pada suatu ketika hampir-hampir menyarung jersi kebangsaan Perancis setelah kecewa tidak pernah mendapat peluang untuk mewakili pasukan bola sepak kebangsaan Argentina di peringkat antarabangsa.

Semuanya gara-gara sasaran Presiden Real Madrid, Florentino Pérez untuk menjuarai Liga Juara-juara Eropah terkubur di tangan Lyon. Dan turut dikhabarkan sekurang-kurangnya sembilan orang pemain bakal ditunjukkan jalan keluar dari Santiago Bernabéu bagi membolehkan Pérez mengembangkan dana yang lebih besar untuk membawa masuk bintang-bintang baru ke Real Madrid termasuklah Franck Ribery.

Profil Gonzalo Higuaín
NAMA PENUH: Gonzalo Gerrado Higuaín
GELARAN: El Pipita
TARIKH LAHIR: 10 Disember 1987 (22 tahun)
TEMAT LAHIR: Brest, Perancis
TINGGI: 1.84 meter (6 kaki 1/2 inci)
KELAB: Real Madrid
POSISI: Penyerang / Pemain sayap
NO. JERSI: 20
KARIER: River Plate (2004-2006), Real Madrid (2007-sekarang)

26 Mac 2010

Bukit Kepong

Tengah syok badrulville layan minum-minum, makan-makan dekat Restoran Mimi Tomyam, Jalan Langgar dengan Pai dan Chik sambil dok layan TV, lebih kurang jam 10 malam, RTM TV 2 tayang pulak filem 'Bukit Kepong'. "Alamakk... Layan cerita nie......"
Walaupun sebelum ni sejak darjah dua lagi dah tengok banyak kali cerita Bukit Kepong ni, badrulville masih mempunyai minat untuk mengikutinya. Bersempena dengan ulang tahun Peringatan Hari Polis ke-203, TV 2 telah mengambil inisiatif untuk menayangkan filem tersebut.
Selalunya kalau duduk bersembang tu sampai empat jam pun buleh tahan. Tapi, malam tadi duduk tak sampai sejam dah pakat balik rumah...

Cukup tersentuh bila menghayati filem Bukit Kepong. Bagi badrulville, ianya lebih menarik jika dibandingkan dengan filem seperti Leftenan Adnan, Embun dan lain-lain lagi yang mengisarkan tentang pahit maung para pejuang Tanah Melayu untuk mempertahankan tanahair daripada dijajah oleh British, Jepun dan ancaman pengganas komunis...

Berikut adalah ringkasan sejarah peristiwa Balai Polis Bukit Kepong, Muar, Johor Darul Takzim:

Permulaan

Tragedi Bukit Kepong merupakan peristiwa bersejarah yang berlaku pada 23 Februari 1950 antara pihak polis dan pengganas Parti Komunis Malaya sebelum kemerdekaan Tanah Melayu. Pertempuran ini berlaku di sekitar kawasan Balai Polis Bukit Kepong. Balai polis yang diperbuat daripada kayu ini terletak di tebing Sungai Muar, sekitar 60 km dari bandar Muar.


Kejadian ini bermula sekitar jam 4.15 pagi apabila pihak komunis melancarkan serangan secara gerila. Komunis ingin menjadikan contoh daripada serangan tersebut tentang akibat kepada sesiapa yang menentang perjuangan mereka.


Apabila mereka mulakan kepungan, pihak komunis percaya bahawa mereka akan dapat mengalahkan polis dan menakluk balai polis tersebut dalam tempoh yang singkat. Ini disebabkan beberapa faktor yang menyebelahi mereka:
1. Kelebihan senjata dan jumlah keanggotaan
2. Kedudukan balai polis tersebut yang agak terpencil

Sewaktu serangan berlaku, Sarjan Jamil Mohd Shah telah ditugaskan sebagai Ketua Polis Balai dengan platun campuran 15 anggota polis Tugas Am dan Konstabel Polis Marin pimpinan Sarjan Jamil sendiri. Pasukan ini turut diperkukuhkan dengan kehadiran tiga anggota konstabel polis khas dan empat anggota polis tambahan bagi menjalankan tugas mengawal dan lain-lain, yang menjadikan 22 orang anggota kesemuanya. 13 orang termasuk isteri dan anak-anak anggota tinggal di berek kelamin di sebelah belakang balai polis.

Kesukaran sistem perhubungan adalah sebab utama penempatan pasukan polis marin diwujudkan di situ. Malah, pengangkutan utama ke Bukit Kepong adalah dengan hanya menaiki bot menyusuri Sungai Muar.

Serangan Komunis

Menurut saksi, lebih 200 orang pengganas komunis daripada Kompeni ke-4 yang membuat serangan dan dipercayai diketuai oleh Muhammad Indera atau Mat Indera, komunis Melayu yang diperdaya oleh pihak komunis Cina. Pada awal rancanganya Mat Indera dimaklumkan bahawa serangan itu sebagai satu amaran sahaja. Bagaimanapun ia bertukar menjadi tragedi buruk, ia juga disertai oleh Goh Peng Tun.

Pihak komunis mengepung Balai Polis Bukit Kepong dengan separuh anggota di bahagian hadapan, bakinya di sekeliling balai polis. Pertempuran bermula apabila Konstabel Jaffar Hassan menembak mati seorang pengganas yang sedang memotong kawat duri balai polis tersebut. Pihak komunis kemudiannya menyerang dari segenap sudut, terutamanya dari bahagian hadapan. Mereka berharap serangan ini mengejutkan pihak polis tetapi hakikatnya berhadapan dengan tentangan hebat anggota-anggota polis Bukit Kepong terutamanya daripada dua kedudukan Bren Gun yang terletak di dalam kubu di bawah bilik kawalan.


Sungguhpun lebih sedikit, pihak polis yang diketuai oleh Sarjan Jamil enggan menyerah walaupun berkali-kali diseru oleh komunis agar mereka meletakkan senjata. Satu persatu anggota keselamatan gugur apabila pertempuran berterusan dan dua orang isteri polis yang bertahan turut serta berjuang apabila mendapati suami mereka terkorban semasa pertempuran.

Sekitar pukul 5 pagi pasukan Polis Bantuan atau Auxiliary Police (AP) beserta sekumpulan penduduk kampung yang lengkap bersenjatakan raifal dan senapang patah digerakkan di Kampong Jawa di bawah pimpinan Penghulu Ali Mustaffa. Walaubagaimanapun, mereka telah diserang hendap oleh komunis yang ditugaskan untuk menghalang sebarang bantuan dari luar dan beberapa orang kampung serta pihak komunis sendiri turut terkorban dalam pertempuran di kawasan itu.

7 pagi, komunis menangkap seorang isteri polis, Mariam Ibrahim, isteri kepada Konstabel Mohamad Jaafar. Dikhabarkan, ketua kumpulan komunis, Mat Indera memaksa Mariam merayu agar pihak polis menyerah diri tetapi tidak diendahkan oleh Sarjan Jamil. Pada masa ini Fatimah Ya’aba dan anaknya Hassan turut ditawan dan dipaksa menyeru kepada pihak polis untuk menyerah kalah. Mereka yang bertahan enggan berbuat demikian dan terus berjuang habis-habisan. Apabila mereka enggan menyerah, Mariam dicederakan dan Fatimah dibunuh.

Pada detik terakhir pertempuran hebat itu, komunis telah membakar berek kelamin dan balai polis. Dua orang isteri dan anak-anak anggota keselamatan terbakar hangus dalam berek kelamin. Hanya tinggal tiga orang anggota polis dan seorang Pengawal Kampung yang masih hidup. Mereka meluru keluar dari balai yang terbakar dan merempuh kedudukan komunis, membunuh sekurang-kurangnya tiga dari kumpulan pengganas yang cuba menghalang mereka. Pihak komunis terus melepaskan tembakan kepada mereka yang cuba meninggalkan balai polis yang sedang dijilat api.

Hanya selepas lima jam bertempur, barulah pihak komunis berjaya menawan Balai Polis Bukit Kepong. Mereka kemudian kembali ke dalam hutan, meninggalkan kesan kemusnahan dan kematian. Pihak komunis turut menghumban mereka yang tercedera dan mayat yang terkorban ke dalam api. Antaranya termasuk Hassan, anak kepada Konstabel Abu Bakar yang dicampak hidup-hidup ke dalam api. 14 anggota polis termasuk Sarjan Jamil, empat pengawal kampung, tiga polis bantuan, isteri serta tiga orang anak mereka. Jumlah kematian adalah seramai 25 orang. Mereka yang terselamat ialah empat anggota polis dan sembilan ahli keluarga.

Mereka yang Terselamat

Anggota polis:

1. Konstabel Polis 10533 Othman Yusoff
2. Konstabel Polis Marin 37 Abu Bakar Daud
3. Konstabel Polis Tambahan 3472 Ahmad Khalid
4. Konstabel Polis 7645 Haji Yusoff Rono (meninggal dunia pada 14 April 2005)

Ahli keluarga anggota polis:
1. Mariam Ibrahim - balu Konstabel Muhamad Jaafar
2. Zainun Muhamad - anak perempuan Konstabel Muhamad Jaafar
3. Abu Samah Muhamad - anak lelaki Konstabel Muhamad Jaafar
4. Zaleha - anak perempuan Konstable Muhamad Jaafar
5. Jamilah - anak perempuan Konstabel Marin Abu Bakar Daud
6. Hussain - anak lelaki Konstabel Marin Abu Bakar Daud
7. Fatimah Abdul Manan @ Timah Lawa - isteri Konstabel Hassan Osman
8. Pon Khalid - isteri Konstabel Marin Awang Ali
9. Fatimah Tuani - isteri Konstabel Hamzah Ahmad

Mereka yang Terbunuh Dalam Pertempuran

Anggota polis:
1. Sarjan 3493 Jamil Mohd Shah (Ketua Polis Balai Bukit Kepong)
2. Koperal 7068 Mohd Yassin Haji Wahab (Timbalan Ketua Polis Balai Bukit Kepong)
3. Lans Koperal 7168 Jidin Omar
4. Konstabel Polis 3933 Hamzah Ahmad
5. Konstabel Polis 5674 Abu Mohd Ali
6. Konstabel Polis 7493 Muhamad Jaafar
7. Konstabel Polis 7862 Abu Kadir Jusoh

8. Konstabel Polis 8600 Jaafar Hassan
9. Konstabel Polis 9136 Hassan Osman
10. Konstabel Polis Tambahan 3475 Mohd Top Lazim
11. Konstabel Polis Tambahan 3795 Jaafar Arshad
12. Konstabel Polis Marin 60 Ibrahim Adam
13. Konstabel Polis Marin 68 Awang Ali
14. Konstabel Polis Marin 181 Basiron Adam

Polis Bantuan:
1. AP 2130 Samad Yatim
2. AP Mahmood Saat
3. AP 1925 Ali Akop
4. AP 2127 Othman Yahya

Keluarga anggota:
1. Fatimah Ya'aba - isteri kepada Konstabel Abu Bakar Daud
2. Hassan Abu Bakar - anak lelaki kepada Konstabel Abu Bakar Daud
3. Saadiah - isteri kepada Konstabel Abu Mohd Ali
4. Simah Abu - anak kepada Konstabel Abu Mohd Ali

Anggota Polis Bantuan dan Pengawal Kampung yang terkorban dalam pertempuran di luar balai polis
:
1. AP Redzuan Alias
2. Embong Lazim
3. Koh Ah Cheng